Wednesday, September 4, 2013

HARTA MILIK WANITA SOLIHAH





  Rasulullah SAW bersabda, “ Sesungguhnya, andaikata wanita itu memiliki dunia dan seluruhnya dan dia membelanjakan semua hartanya untuk suaminya, kemudian dia mengungkit-ungkit kembali kepada suaminya setelah beberapa waktu maka Allah SWT akan meleburkan amalannya dan menghalaunya bersama-sama dengan Qarun.


  Bersabda Rasulullah SAW, “ Tidak dibenarkan wanita memberi sesuatu kecuali dengan izin daripada suaminya, sekiranya dia memiliki sesuatu maka harus dia menjaganya.” ( Ahmad, Nasa’i, Ibnu Majah )

  Dr Anwar Jundi mengatakan bahawa Islam membahagikan harta warisan kepada wanita setengah daripada lelaki. Ini sesuai dengan kehormatannya yakni ia tidak berkewajipan untuk mengeluarkan nafkah sekalipun untuk dirinya sendiri atau pun untuk anak-anaknya melainkan hartanya itu menjadi miliknya sendiri.


  Dalam sebuah keluarga, penggunaan harta selayaknya dengan adanya pengetahuan suami walaupun harta tersebut milik isteri. Sangatlah terpuji sekiranya isteri mahu membantu suami dengan sebahagian dari hartanya baik untuk modal usaha ataupun untuk tujuan dakwah dan ibadah.


  Allah SWT berfirman, “ Dan orang-orang yang beriman lelaki dan wanita sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain.” ( At-Taubah )


  Walau apa pun bantuan isteri kepada suami, janganlah pula seorang isteri menganggap dirinya lebih mulia daripada suaminya. Apalagi andai sanggup mengucapkan kata-kata yang merendahkan atau menyakitkan hati suami atau mengungkit-ungkit segala pemberiannya.


  Dalam riwayat lain menyebutkan, “ Sesungguhnya jika seorang wanita itu memiliki harta kekayaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman Ibnu Dawud AS dan suaminya memakan harta tersebut lalu dia berkata kepada suaminya, “ Mana hartaku!” Allah SWT pasti menghancurkan amalan wanita itu selama 40 tahun.





A. ABDURRAHMAN AHMAD

Saturday, August 31, 2013

ANAK DAN WANITA SOLIHAH.

   

 
 Anak adalah kebanggaan dan juga amanah yang sangat mahal bagi wanita solihah. Memiliki anak bererti memiliki rahmat dan berkah yang tercurah daripda Allah SWT. Mempunyai anak juga membawa banyak keuntungan kepada kedua ibubapa. 


   Nabi SAW bersabda kepada puterinya Fathimah R.Anha, “ Wahai Fathimah, tidaklah seorang wanita yang meminyaki rambut kepala anak-anaknya lalu menyisirnya lalu membersihkan pakaiannya, melainkan Allah SWT menetapkan baginya pahala memberi makan kepada 1000 orang yang kelaparan dan memberi pakaian kepada 1000 orang yang telanjang.”


   Imam Nawawi Rah.A menulis di dalam kitabnya, ada 4 kebaikan yang ada pada anak. Sekiranya mempunyai lebih ramai anak maka lebih banyak lagi keuntungan yang tersebut akan diperolehi. Iaitu ;-

1. Dengan mempunyai anak bererti dapat mengekalkan jenis manusia.

2. Mendapatkan cinta daripada Rasulullah SAW , dengan memperbanyakkan ummat baginda SAW.

3. Mendapat keberkatan doa daripada anak yang solih.

4. Mendapat syafaat dengan sebab matinya anak yang masih kecil jika ia meninggal sebelum ibubapanya meninggal.



>>> Ada beberapa fasal yang sangat berkait dengan anak. Di antaranya ialah ;-


Kehamilan dan Kelahiran.


    Kehamilan adalah sesuatu yang sangat istimewa yang mana hanya dapat dirasai oleh wanita. Sepanjang tempoh kehamilan banyak sekali keutamaan yang dijanjikan oleh Allah SWT dan RasulNya SAW.

    Rasulullah SAW bersabda, “ Wanita yang hamil dan menyusu sampai habis tempoh masa menyusuinya sama seperti pejuang di baris hadapan di jalan Allah SWT . Dan sekiranya dia meninggal di antara waktu tersebut, sesungguhnya baginya pahala mati syahid.” ( Thabrani )

Nabi SAW bersabda, “ Tahukan kamu siapa yang syahid dari kalangan ummatku? “ Semua diam. 
Maka Ubadah R.Anhu berkata sambil menyandarkan diri kepadaku dan aku pun menyandar kepadanya. 
Beliau bertanya kepada Rasulullah SAW, “ Wahai utusan Allah SWT, apakah orang yang sabar dan mengharapkan keredhaan Allah itu syahid? “ 
Maka Rasulullah SAW bersabda. “ Sesungguhnya orang yang mati syahid di jalan Allah itu sangat sedikit sekali. "

Di antaranya orang yang mati syahid itu ialah,
  • Orang yang mati di jalan Allah SWT.
  • Orang yang mati kerana sakit taun.
  • Orang yang mati kerana lemas/tenggelam.
  • Orang yang mati kerana sakit perut dan
  • Orang yang mati ketika melahirkan kerana ditarik anaknya ke syurga.” ( dari Rasyid Ibnu Hubaisy )

    Di kesempatan yang lain Nabi SAW bersabda kepada puterinya Fathimah R.Anha, “ Wahai Fathimah, jika wanita mengandung anak di perutnya maka para Malaikat akan memohon ampun baginya dan Allah SWT menetapkannya baginya sehari 1000 kebaikan, menghapuskan 1000 keburukannya. Dan baginya pahala pejuang di jalan Allah SWT. Jika dia melahirkan bayinya, maka keluarlah dosa-dosanya seperti ketika dia dilahirkan oleh ibunya dan tidak akan keluar dari dunia ini dengan membawa satu dosa pun. Di kuburnya, akan ditempatkan di taman-taman syurga. Allah SWT memberikan kepadanya pahala 1000 ibadah haji dan umrah dan 1000 Malaikat memohon ampun baginya sehingga hati kiamat.”

    Syeikh Ibnul Jauzi mengatakan bahawa melahirkan adalah perjuangan antara hidup dan mati. Nyawa ibu dipertaruhkan demi keselamatan dan kelahiran anaknya dan perjuangan sedemikian berat ini mendapat imbalan yang setimpal daripada Allah SWT. Jadi tidak benar jika wanita tidak mendapat kesempatan untuk syahid di jalan Allah SWT. ( Ahkamun Nisaa’ )

    Wanita Solihah akan menghadapi semua ini dengan penuh harapan dan kesabaran kerana di sebalik kesusahan itu semua terdapat janji-janji pahala yang berlipat ganda. Inilah yang menjadi alasan mengapa para sahabat R.Anhum walaupun dalam keadaan yang sangat miskin tetap juga berkeinginan untuk memiliki ramai anak. Sedangkan kita bermacam alasan untuk tidak mempunyai ramai anak. Ternyata keluarga para sahabat R.Anhum lebih parah lagi keadaan hidup mereka berbanding dengan kehidupan kita.

    Rasulullah SAW bersabda, “ Apakah kamu tidak rela salah seorang daripada kamu wahai sekelian wanita, bahawasanya sekiranya ia hamil daripada suaminya, sedangkan suaminya redha kepadanya maka dia memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa yang berjuang fi sabilillah. Dan apabila dia mula merasa sakit untuk melahirkan, dia akan mendapat pahala yang penduduk langit dan bumi belum pernah melihat pahala yang disediakan untuknya daripada pandangan mata yang menyenangkan. Dan setelah ia melahirkan maka tiadalah keluar seteguk susunya kemudian anaknya menghisap susunya melainkan setiap titisan susunya berpahala satu kebajikan. Sekiranya dia tidak dapat tidur semalam suntuk kerana anaknya maka baginya pahala seperti memerdekakan 70 hamba sahaya di jalan Allah SWT dengan penuh keikhlasan.” ( Ibnu Asakir )

    Kehamilan seseorang wanita adalah suatu tanda keberkatan dari Allah SWT kepadanya. Rasulullah SAW bersabda, “ Salah satu keberkatan wanita ialah, cepat pernikahannya, cepat pula kehamilannya dan ringan maharnya.” (Ahmad Baihaqi)


   Dengan itulah Allah SWT meninggikan darjat kaum wanita yang pasti tidak boleh dicapai oleh darjat kaum lelaki.

    Risiko mati syahid adalah lebih diharapkan oleh wanita muslimah yang sejati dibandingkan dengan perasaan takut miskin, takut ekonomi tidak kukuh, khuatir pendidikan anak-anak yang akan terabai dan alasan-alasan lainnya.




Adab-adab Melahirkan.


Seterusnya ada beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh ibubapa ketika melahirkan putera-puterinya iaitu ;-

1. Menyuarakan Azan dan Iqamat.

    Rasulullah SAW bersabda, “ Barangsiapa dikurniakan bayi yang baru lahir kemudian dia menyuarakan azan di telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya maka bayi itu tidak akan terkena bahaya Ummu Shibyan (gangguan angin/jin )

Mengenai rahsia azan dan iqamat di sini. Syeikh Ibnul Qayyim Al- Jauziyah menerangkan dalam kitabnya, ‘ Tuhfatul Maulud ‘ antaranya ialah ;-

  •  Agar apa yang pertama sekali menembus pendengaran manusia adalah kalimah yang Maha Tinggi yang mengandungi kebesaran Allah. Tidak mustahil apabia pengaruhbazan itu akan meresap ke dalam hatinya walaupun ia tidak merasa.
  • Larinya syaitan laknatullah dari kalimat azan. Kerana syaitan diketika itu sedang menunggu setiap kelahiran bayi. (Baihaqi, Ibnu Sunni )
  •  Mendahulukan dakwah Allah dan RasulNya daripada dakwah-dakwah seterusnya.

2. Tahnik. 

   Abu Musa R.Anhu berkata, “ Aku telah dikurniakan seorang anak. Kemudian aku membawanya kepada Nabi SAW lalu baginda SAW menamakannya Ibrahim, menggosokkan langit-langit mulut anakku dengan buah kurma dan mendoakan dengan keberkahan. Setelah itu Baginda SAW menyerahkannya kembali kepadaku.” ( Bukhari, Muslim )

   Diriwayatkan daripada A’isyah R.Anha bahawa Nabi SAW sentiasa mentahnik setiap bayi yang dibawakan ke hadapan baginda SAW lalu baginda mendoakannya.”

   Masih banyak lagi riwayat-riwayat yang menerangkan tentang keutamaan amalan ini. Dalam kitab ‘Tarbiyatul Aulad’ dikatakan bahawa yang dimaksudkan dengan menggosokkan langit-langit adalah mengunyahkan kurma lalu setelah menjadi lembut diletakkan di atas jari kemudian dimasukkan ke dalam mulut bayi dan digosokkan di langi-langit mulut bayi tersebut ke kiri dan ke kanan dengan lembut sehingga rata. 

   Sekiranya kurma sukar didapati maka boleh dilakukan dengan bahan-bahan yang manis selainnya. Sekadar untuk  ' ittiba ’ pada sunnah Nabi SAW. Sebaik-baiknya perkara ini dilakukan oleh orang yang taqwa dan solih akhlaknya.


3. Mencukur Rambut Kepala.

   Nabi SAW bersabda, “ Anak itu tergadai dengan aqiqah yang disembelih untuknya pada hari ke- 7, diberi nama dan dicukur pada hari itu.” ( as-Sohabus-Sunan )

    Di dalam kitab ‘Al-muwatta’, Imam Malik Rah. A meriwayatkan , bahawa Fathimah R.Anha telah menimbang rambut kepala Hassan, Hussin, Zainab dan Ummi Kultsum. Kemudian dengan berat timbangan rambut itu beliau menyedekahkan perak.

   Islam mensyariatkan untuk anak yang baru lahir pada hari ke 7 kelahirannya agar dicukur rambutnya. Kemudian rambut tersebut ditimbang lalu diluangkan dengan harga berat perak kemudian disedekahkan. Syeikh Ibnul Qayyim Al Jauziyyah menerangkan bahawa perkara ini mengandungi 2 hikmah iaitu ;-
  • Hikmah higinis – Dengan mencukur rambut anak akan menajamkan pancaindera, menguatkan ingatan dan menghilangkan penyakit. 
  • Hikmah Sosial – Dengan bersedekah daripada berat timbangan rambut anak menunjukkan adanya tolong menolong dan kasih sayang di antara ummat Muslimin.

4. Memberi Nama Yang Baik.

   Wanita solihah adalah ibu yang mendambakan anak-anak yang solih dan bertaqwa. Maka keinginan itu diwujudkan dengan pemberian nama kepada anak dengan nama-nama yang baik pada hari ke 7 kelahiran. 

   Nama yang baik boleh diambil daripada nama-nama Nabi AS, para sahabat , orang-orang solih dan sebagainya. Rasulullah SAW bersabda, “ Sesungguhnya pada hari kiamat nanti kamu akan dipanggil dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu maka berilah nama-nama yang baik untuk kalian.” ( Abu Darda’ )

   Nabi SAW juga bersabda, “ Sesungguhnya nama-nama kamu yang paling disukai oleh Allah SWT ialah ‘ Abdullah ‘ dan ‘ Abdur Rahmaan ’.” ( Muslim )

   Dalam ‘ Kanzul Ummal ‘ disebutkan sabdaan Nabi SAW, “ Sesiapa yang melahirkan anak lelaki dan diberi nama ‘ Muhammad ‘ kerana cintanya kepadaku dan dengan niat akan mendapat berkat dari namaku maka dia dan anaknya akan masuk syurga.”

   Sekiranya anak sudah diberi nama dengan nama yang kurang baik maka ubahlah dengan nama yang baik. Jangan segan-segan untuk menukar nama anak-anak dari yang buruk kepada yang baik. Ini adalah sunnah Nabi SAW.

   Diriwayatkan daripada A’isyah R.Anha bahawa Nabi SAW sering menggantikan nama yang buruk kepada nama yang baik. Rasulullah SAW menggantikan nama ‘ Harb ‘ ( perang ) kepada nam ‘Salim ‘ (Damai ), ‘ Hazn ‘ ( Yang susah ) dengan nama ‘ Sahl ‘ (yang mudah ). ( Abu Dawud )

   Diriwayatkan oleh Yaisy Al Ghifari R.Anhu bahawa suatu ketika Rasulullah SAW memerlukan seseorang untuk memerah susu unta. Baginda SAW bertanya, “ Siapa yang akan memerah susu ini?” Seorang lelaki menjawab, “ Saya ya Rasulullah SAW.” 

Rasulullah SAW bertanya, “ Siapakah namamu?” Beliau menjawab, “ Murrah (pahit )”.
Rasulullah SAW berkata kepadanya, “ Duduklah. “ Seorang lelaki lain lalu bangkit dan ditanya oleh Rasulullah SAW, “Siapakah namamu?” Beliau menjawab, “ Murrah (pahit )”.
Rasulullah SAW berkata kepadanya, “ Duduklah. “ 

Selepas itu ada seorang lelaki bangkit dan Rasulullah SAW bertanya, “Siapakah namamu?” Beliau menjawab, “ Jamrah ( api )”

Rasulullah SAW berkata kepadanya, “ Duduklah”. 

Akhirnya Yaisy (perawi hadis ini ) bangkit dan Rasulullah SAW bertanya kepadanya,” Siapa namamu?” Dia menjawab, “ Yaisy (berumur panjang ).” Rasulullah SAW berkata kepadanya,” Perahlah susunya.”

   Nama mempengaruhi kehidupan seseorang sebagaimana dalam riwayat disebutkan bahawa Said Ibnu Musayyab meriwayatkan daripada ayahnya bahawa datuknya pergi kepada Rasulullah SAW dan ditanya, “ Siapakah namamu?” Beliau menjawab, “ Hazn (dukacita).” Rasulullah SAW bersabda,” Engkau adalah ‘Sahl’ ( senang ).” Beliau menjawab,” Aku tidak akan menukar nama yang telah diberikan oleh ayahku.” Ibnu Musayyab berkata,” Setelah itu dukacita sentiasa bersama kami.”


5. Aqiqah.

   Aqiqah juga dilaksanakan pada hari yang ke-7. Berdasarkan sabda Rasulullah SAW,” Setiap anak digadaikan dengan aqiqahnya. Ia disembelihkan binatang pada hari ke-7 bermula dari hari kelahirannya, diberi nama dan dicukur kepalanya.” ( As’habus Sunan )

   Rasulullah SAW bersabda,” Barangsiapa di anatara kamu ingin beribadah dengan anaknya hendaknya ditunaikan (disemelihkan) untuk anak-anak lelaki 2 ekor kambing yang sama umurnya dan untuk anak perempuan seekor anak kambing.” ( Ahmad, Abu Dawud, Nasa’i )

   Melalui aqiqah ia memberi keberkahan kepada si anak. Sehingga dapat membesar dengan ketaatan dan kesolihan.


6. Khitan.

   Rasulullah SAW bersabda,” Fitrah itu ada 5 yakni, khitan, mencukur bulu kemaluan, memotong kumis, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak.” ( Bukhari, Muslim )

   Rasulullah SAW bersabda,” Khitan itu disunnatkan bagi kaum lelaki dan dimuliakan bagi kaum wanita.” ( Ahmad )

   Menurut Imam Ahmad Ibnu Hambal tiada masalah sekiranya khitan dilakukan ketika umur 7 tahun.

   Menurut Dr Sobri Al- Qabani, di dalam bukunya ‘ Hayatuna Al-Jinsiah’, mengatakan bahawa khitan mempunyai kesan higinis, antaranya ialah ;-

  • Kelupasnya khuluf ( kulit ulu zakar ) bererti selamat daripada peluh minyak dan sisa kencing yang mengandungi kotoran. 
  • Selamat daripada terganggunya khasafat ketika mengembang.
  • Menghindari daripada penyakit kanser, kerana kanser banyak terjadi kepada orang-orang yang khulufnya sempit.
  • Mengurangi kemungkinan anak kencing malam (tempat tidur ).
  • Khitan dapat meringankan kebiasaan yang bersifat rahsia kepada yang sudah baligh.

7. Menyusui.

   Allah SWT berfirman, “ Dan para ibu hendaklah menyusui anak-anak mereka selama 2 tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. ( Al-Baqarah : 233)

   Ali RA mengatakan, “ Tidak ada yang lebih baik dan lebih banyak daripada air susu ibu.

   Dr A.H. Taba mantan ketua WHO untuk wilayah Laut Tengah mengatakan, “ Salah satu di antara penyebab penting yang membuat anak-anak mudah diserang berbagai penyakit adalah kerana tidak mendapatkan air susu ibu.”

   Sangat jelas bahawa air susu ibu sangat mempengaruhi sifat-sifat kepada bayi. Untuk itulah Ali RA juga berkata, “ Jangan memilih wanita yang bodoh untuk menyusukan bayimu dengan air susunya kerana sifat-sifat dasarnya akan merasuki anakmu.” Pengaruh ini Nampak jelas dengan kisah Imam Syafi’e Rah.A. Ketika beliau ditanya kenapa beliau sangat cerdas, beliau menjawab,
 “ Ibuku tidak menyusuiku tanpa berwudhuk.”

   Rasulullah SAW bersabda, “ Apabila seorang wanita menyusui maka setiap teguk dari susunya ia mendapat pahala seperti menghidupkan orang dan apabila ia selesai menyusukan anaknya maka para Malaikat akan menepuk punggungnya dan berkata, “ Selamat segala dosamu yang telah lalu sudah diampuni, sekarang mulailah lagi.”

   Bayi memperoleh banyak manfaat dari air susu ibu di samping keperluan gizinya terpenuhi juga mengeratkan ikatan kasih dan sayang antara ibu dan anak makin kuat. Air susu ibu juga merupa gizi ruhaniah yang dapat membentuk sifat yang baik kepada bayi. Ibu tidak saja memberikan gizi yang terbaik untuk anaknya tetapi ianya juga menanamkan setiap titis dari susunya cara berfikir dan tindak tanduknya ke dalam urat darah anaknya. Juga merupakan tugas ibu untuk menanamkan kepada anak dari setiap titis air susunya ajaran tentang keesan Allah, cinta Rasulullah SAW dan kecintaan terhadap Islam. Si ibu hendaklah berusaha menanamkan rasa cinta terhadap Islam ke dalam hati dan jiwa anak.

   Rasulullah SAW mengecam dengan keras sikap ibu yang tidak mahu menyusui anaknya tanpa suatu alasan yang syar’ie. Baginda SAW bercerita tentang malam Mi’raj, baginda SAW bersabda, “ Kemudian mereka membawaku lebih jauh dan aku lihat beberapa wanita yang susunya sentiasa digigit ular. Ketika aku bertanya siapakah wanita ini? Diberitahukan kepadaku bahawa mereka adalah wanita yang tidak mahu menyusui anaknya.”


8. Memelihara Anak.

   Syeikh Ibnul Jauzi menulis bahawa sebenarnya lingkaran kehidupan wanita itu penuh dengan limpahan pahala. Taat kepada suami, hamil, melahirkan dan juga menjaga anak mereka. Ibnu Umar RA meriwayatkan sabda Rasulullah SAW bahawa, “ Barangsiapa yang member minum anaknya yang masih kecil, kelak akan diberi minuman daripada Allah SWT 70 teguk dari sungai Kautsar pada hari kiamat."

   Beliau melanjutkan bahawa anak adalah kurniaan dan rahmat daripada Allah SWT . Ibu bapa harus berbangga kerana dipercayai oelh Allah SWT untuk memegang dan memelihara amanahNya. Untuk itu Allah SWT member pahala yang tidak putus-putus sejak dari hamil, melahirkan dan memelihara serta merawatnya. ( Ahkamun Nisa )

   Dr Anwar Jundi juga menekankan bahawa pemeliharaan ibu terhadap anaknya merupakan pekerjaan berat yang tidak boleh disamakan dengan pekerjaan lain yang dikerjakan oleh kaum wanita. Pekerjaan ini harus dilakukan oleh ibu dan tidak boleh digantikan oleh pusat asuhan, pengasuh bayi atau pembantu rumah.

    Mufti Zainal Abidin juga menegaskan bahawa pada diri seorang ibu ada tangan-tangan emas dan ajaib yang dapat menciptakan putera-puteri yang solih, yang tidak dapat diwakilkan kepada sesiapa pun.

   Untuk itu sebagai wanita solihah tentu tidak akan mensia-siakan projek pahala ini begitu saja sehingga terjatuh ke tangan orang lain. Wanita solihah akan berusaha untuk melahirkan putera dan puteri dari tangannya yang mulia, yang akan menjadikan hal tersebut sebagai amal jariyah baginya.


9. Pendidikan Anak-anak.

   Wanita solihah bertanggungjawab penuh terhadap pendidikan anak-anaknya. Urusan ini tidak dapat diserahkan kepada orang lain. Kerana itulah dikatakan rumah adalah madrasah pertama bagi anak-anak. Nabi SAW bersabda, “ Dan wanita itu adalah pengembala dan bertanggungjawab terhadap gembalaannya.” ( Muttafaqun Alaihh )

   Begitulah betapa pentingnya peranan ibu dalam pendidikan anak-anaknya. Ustaz Hasan Al Banna berkata bahawa wanitalah yang membangunkan pertumbuhan anak dan menjadi ikutan yang diteladani oleh anak-anak kecil. Wanitalah yang pertama kali membentuk kehidupan anak-anak untuk menjadi dewasa di atas jalan yang lurus. Corak daripada ibulah yang akan mewarnai dalam kehidupan anak-anaknya kerana ibulah yang selalu dekat dengan anak-anak. Sebagaima pepatah arab menyebutkan, “ Di balik orang-orang yang mulia, ada ibu-ibu yang mulia.”

   Dr Anwar jundi menambah, pada masa sekarang ini kita sedang menghadapi masaalah pendidikan anak-anak yang sangat rumit. Yakni, masaalah pendidikan anak-anak yang banyak diserahkan kepada pembantu rumah. Mereka ditinggalkan di rumah dengan bekal susu buatan. Ditinggalkan oleh ibunya dan kesempatan untuk menemukan kasih-sayang begitu kurang minimum sekali.

   Selanjutnya beliau menulis bahawa jika kita perhatikan kejayaan orang-orang terdahulu yakni para sahabat R.Anhum dalam pendidikan anak-anak mereka tidak lain tidak bukan kerana mereka sangat mengambil berat dasar-dasar pembentukan dalam keluarga yang sesuai dengan ruh Islam. Di samping itu juga mereka sendiri member teladan yang baik kepada seluruh keluarga.

   Umar Ibnu Khattab RA juga berkata, “ Dan perhatikan di mana anakmu kamu letakkan, keranan keringat itu menular (kepada diri anak-anak).” ( Natsar Al Durr )


   Rumah adalah satu perlembagaan yang mempunyai beberapa fungsi, antaranya ialah ;-

  • Sebagai tempat pembentukan peribadi mulia kerana keluarga adalah sebagai motivator dan pendukung keperluan anak-anak.
  • Keluarga sebagai tempat tumbuhnya ekonomi berpadu di mana ayah bertugas sebagai penanggungjawab terhadap nafkah anak dan isteri, sedangkan ibu pula bertugas di dalam rumah.
  • Keluarga merupakan tempat pendidikan pertama melalui ‘bahasa’ ibu. Oleh kerana itu di sinilah bermulanya bimbingan dan penyuluhan.
  • Keluarga adalah tempat pendidikan yang pertama bagi seseorang anak yakni mengenai dasar-dasar pendidikan kemasyarakatan, aqidah, ibadah, akhlak dan nilai budaya.

   Syeikh Ahmad Hussin menulis bahawa, seharmoni manapun hubungan suami isteri tetapi jika pendidikan kepada anak-anak tidak tepat maka rumahtangga tersebut akan menjadi berantakan.

   Jadi sangat penting bagi wanita solihah untuk menjadikan pendidikan anak-anak adalah salah satu program utamanya di rumah dan mengurangi kegiatan di luar rumah. Siham Mahmud Al-Iraqi mengatakan bahawa kegiatan wanita di luar rumah banyak menyebabkan rendahnya nilai akhlak pada diri anak-anak. Dan ternyata tidak ada hubungannya sama sekali tingginya taraf ekonomi dengan tingginya akhlak sesebuah keluarga.

   Dr As-Sayyidah Binti Syati menulis bahawa dunia ini amat penting adanya wanita yang mampu menanamkan kebaikan kepada bayinya kerana pendidikan awal merupakan lukisan pada lembaran hati sebelum menggunakan akal fikiran. Sebagaimana dikatakan ahli Filsuf bahawa hakikat pendidikan yang diletakkan di atas lutut ibu tidak akan terhapus buat selama-lamanya. Apa jawapan ibu bapa sekiranya orang-orang yang berada di dalam tanggungannya ditanya oleh Allah SWT akan dosa-dosa mereka? Kemudian mereka menjawab, “ Semua ini kerana kelalaian ibu bapa kami dalam mengingatkan akan dosa-dosa kepada kami. Bahkan, mereka merestui dosa-dosa itu. Tidakkan mereka sedar akan tanggungjawab mereka?”

   Sebagai contoh, ibu yang selalu memberi tauladan dan nasihat yang baik kepada anaknya. Ada satu kisah Asma R.Anha yang menasihati anaknya iaitu Abdullah Ibnu Zubair RA ketika anaknya bertentangan denagn Hajjaj Ibnu Yusuf seorang raja yang zalim di zaman Bani Umaiyyah. Asma R.Anha menasihati puteranya, “ Wahai anakku sesungguhnya seekor kambing tidak merasa apa pun tatkala lehernya disembelih. Pisau tidak berbahaya baginya. Jika engkau berada di atas kebenaran maka mantapkanlah hatimu. Berangkatlah menghadap ke pejabat Bani Umaiyyah dengan mengharap Rahmaan daripada Allah SWT . Sebaliknya sekiranya dirimu berada di jalan kebathilan maka sungguh engkau memang benar-benar buruk. Engkau binasakan dirimu dan saudara-saudaramu.”


10. Kematian Anak.

   Rasulullah SAW bersabda, “ Siapa sahaja wanita yang kematian 3 orang anaknya, maka baginya penghalang dari Api Neraka.” ( Bukhari )

   Rasulullah SAW bersabda, “ Tidak ada anatara 2 orang Muslim yang kematian 3 orang anaknya yang belum mencapai baligh kecuali pada Hari Kiamat nanti anak-anaknya itu akan didatangkan. Hinggakan ketika mereka diberhentikan di depan pintu Syurga, mereka diperintahkan , “ Masuklah kalian ke dalam syurga.” Mereka berkata, “ kami tidak akan masuk sebelum ibu bapa kami masuk.” Maka dikatakan kepada mereka, “ Masuklah ke dalam syurga bersama ibu bapamu.” ( Thabrani )

   Rasulullah SAW bersabda, “Jika anak seorang hamba meninggal dunia maka Allah SWT berfirman kepada MalaikatNya, “ Apakah kalian telah mematikan anak hambaKu?” Mereka menjawab, “ Ya”. Allah SWT berfirman, “ Apakah kalian telah mematikan buah hatinya?” Mereka kembali menjawab, “ Ya “. Allah SWT berfirman, “ Apa yang diucapkan oelh hambaKu?” Mereka menjawab, “ Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan sesungguhnya kepadaNyalah kami akan kembali.” Maka Allah SWT berfirman, “ Bangunkanlah sebuah rumah di Syurga untuk hambaKu ini dan namakanlah ia ‘ Baitul Hamdi ‘.” ( Tirmidzi, Ibnu Hibban )

   Abdullah Ibnu Abbas RA ketika sedang dalam suatu perjalanan beliau menerima khabar bahawa puterinya meninggal dunia. Lalu beliau mengucapkan, “ Innalillah wa inna ilaihi raji’uun.” Kemudian beliau turun dari kudanya dan melaksanakan solat 2 rakaat lalu beliau berkata, “ Aku telah melakukan apa yang telah diperintahkan Allah kepadaku, dalam ayat, “Carilah pertolongan (daripada Allah) dengan sabar dan solat.” (Al-Baqarah : 153 )

   Syeikh Ibnnul Jauzi menngatakan bahawa, kehilangan atau kematian anak terutama yang masih kecil merupakan anugerah Allah SWT kepada ibu bapanya. Untuk itu hendaklah selalu bersabar dan bertawakkal apabila musibah ini menimpa. Kecil yang meninggal itu siapa tahu akan menolong dan member kebahagiaan kepada ibu bapanya di akhirat kelak.

   Demikian besar pahala dari musibah ini sehinggakan dikisahkan dalam sejarah tentang seorang ayah yang memang menginginkan anaknya mati sebelum dewasa. Mengenai hal ini dinukilkan dalam Ahkamun Nisaa’ oleh Ibnul Jauzi. 

   Muhammad mengisahkan tentang kisah seorang yang bernama Ibrahim . Ibrahim mempunyai seorang anak yang berumur 11 tahun yang sudah menghafal Al-Quran, sudah pula diajarnya fiqih yang tidak sedikit. Anak itu meninggal dunia.

Ketika saya sedang bertakziah, dia berkata, “ Aku memang menginginkan anakku mati.”
Aku yang mendengar kata-kata itu sangat terkejut lalu bertanya, “ Kamu seorang yang Alim di dunia, mengapa kamu sanggup berkata begitu? Padahal kamu sudah bersusah payah mengajarnya menghafal Al-Quran, mengajarnya Hadis-hadis dan Ilmu Fiqh yang tidak sedikit.”
Beliau menjawab, “ Benar! Aku bermimpi melihat Kiamat datang. Aku melihat banyak anak kecil membawa kendi tempat minuman di tengah-tengah kerumunan manusia. Panas sangat terik waktu itu, mereka memberi minum orang yang tertentu. Ketika ada seorang anak dekat denganku. Aku meminta seteguk air daripadanya. Anak itu bertanya, “ Apakah kamu ini ayahku?” Aku pun bertanya, “ Siapakah kalian semua ini?” Anak kecil itu berkata, “ Kami adalah anak-anak yang meninggal semasa belum dewasa. Kami sedang mencari ibu bapa kami untuk memberikan minuman ini kepada mereka,” Itulah wahai sahabat, yang membuatkan aku iningn anakku mati selagi belum baligh.”

   Syeikh Ibnul Jauzi menambah kisahnya. Salah seroang di atara salafiyyin berkata, “ Aku bermimpi melihat kuburan terbuka. Orang-orangnya keluar memungut sesuatu. Namu ternyata di antara mereka adalah seorang yang tidak ikut keluar memungut sesuatu seperti yang lain itu. Lelaki itu duduk diam di kuburnya. Ketika aku bertanya, “ Apakah yang dipungut mereka itu?” Dia menjawab, “ Rahmat daripada ummat kepada mereka.” Aku bertanya lagi, “ Mengapa kamu tidak ikut serta mereka itu?” Dia menjawab lagi, “ Aku tidak perlukan itu semua sebab aku mempunyai anak yang masih membaca Al-Quran yang pahalanya dikirimkan kepadaku.”

   Tidak ada yang meragukan lagi akan ketulusan kasih sayang ibu terhadap anaknya. Jangankan manusia, haiwan pun memiliki perasaan kasih sayang yang sama terhadap anaknya. Demi anak-anak ibu bapa berani merelakan segalanya terutamanya ibu yang lebih banyak berkorban untuk anaknya. Bahkan demi anaknya juga, seorang ibu sering melalaikan dirinya sendiri. Seringkali ketenangan dan keselesaan ibu banyak terganggu semata-mata demi kesenangan anak-anaknya.

   Di dunia ini segala sesuatu ada batasnya. Kematian adalah batas yang paling jelas dan tidak boleh ditolak oleh sesiapa pun sebagaimana Allah SWT berkuasa memberikan ruh kepada janin dalam rahim ibu maka Allah SWT jugalah yang memutuskan bila ruh itu akan di angkat kembali ke hadratNya.

   Ustaz Solih Al-Munajjid mangatakan bahawa tidak diragukan lagi bersabarlah dan mintalah rahmat dan berkat daripadaNya, mudah-mudahan dengan kematian anak-anak itu bisa menjadi pengahalang bagi ibubapa dari api Neraka jahannam, sesuai dengan janji-janji Allah SWT.


11. Menggugurkan Bayi.
   Wanita yang keghuguran bukan kerana disengajakan akan mendapat pahala daripada Allah SWT. Sahl Ibnu Handhalah yang tidak dikurniai anak bernazar, “ Andaikata aku mendapat seorang anak meskipun tidak sempat lahir (keguguran ) dalam Islam ini, itu lebih baik bagiku daripada dunia dan seisinya. “ 

   Bagi mereka yang sengaja menggugurkan kandungannya amak ia memiliki tanggungjawab yang berat di sisi Allah SWT. Allah SWT berfirman, “ ....apabila bayi-bayi perempuan yang dikuburkan hidup-hidup ditanya, kerana dosa apakah dia dibunuh... “ ( At-Takwir : 8-9 )

Allah SWT berfirman, “ Janganlah kalian membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan.” ( Al-An’am : 151 )

    Nabi SAW ketika ditanya tentang dosa yang paling besar, baginda SAW menjawab, “ Menyekutukan Allah SWT padahal Dia yang mencipatakanmu, membunuh anakmu kerana takut ikut makan denganmu dan berzina dengan isteri jiranmu.” ( Muttafaqun Alaih )

   Menguburkan dan membunuh anak adalah tradisi kaum jahiliyyah yang wajib dimusnahkan dari permukaan bumi ini. Allah SWT mengancam seksa kepada wanita yang sengaja menggugurkan kehamilannya. Memang tidak setiap pernikahan mampu memberikan keturunan kerana tidak semua sperma yang bertemu dengan ovum akan tumbuh berkembang menjadi janin manusia. Tetapi manusia jelas dilarang menggagalkan kandungan atau menggagalkan pembuahan yang sudah terjadi. Sekiranya dilakukan juga bererti wanita tersebut menetang kudrat yang diberikan oleh Allah SWT. ( Ahkamun Nisaa’ )

   Syeikh Ibnul Jauzi menambah bahawa seksa atau hukuman bagi wanita yang menggugurkan bakandungannya sangat menyeramkan. Juwaiyriyyah Binti Asma’ R.Anha berkata, daripada bapa saudaranya meriwayatkan tentang satu kisah yang boleh dijadikan sebagai renungan buat kita kaum wanita. Demikian kisahnya ;-

   “ Aku, suatu ketika naik haji bersama-sama orang lain dalam satu rombongan. Ketika sampai pada tempat istirehat pertama, seorang perempuan anggota rombongan tertidur. Tiba-tiba datang seekor ular yang besar melilit tubuhnya. Ekor dan kepala ular itu bertemu, membuat ikatan yang tepat pada payudara wanita tersebut. Kami semua amat terkejutnamun tidak dapat berbuat apa-apa. Wanita itu tetap saja nyenyak tidur tidak bangun-bangun. Akhirnya dengan terpaksa kami meninggalkannya. 

   Perjalanan diteruskan sehingga memasuki daerah perbatasan negeri Haram dan terus masuk ke Makkah. Setelah kami selesai menguruskan urusan haji kami masing-masing, kami pun kembali pulang. Sampailah kami ditempat wanita yang dililit ular. Tampak wanita itu di dalam keadaan tidur dan jaga sedangkan ular it uterus menerus melilitnya. Kemudia tanpa diketahui sebabnya tiba-tiba datang dari lembah itu banyak sekali ular yang memakan tubuh wanita itu. Aku bertanya salah seorang wanita yang ada bersama kami tentang siapa wanita itu sebenarnya. Wanita itu menjawab, “ Dia adalah wanita yang sudah 3 kali melacur. Setiap kali melahirkan bayi kemudian dia bunuh dengan merebus bayi itu di atas air yang mendidih.” 

   Syeikh Abu Bakar Jabir menuliskan bahawa larangan membunuh anak bererti wajib mengasihi, menyayangi dan memeliahra jasmani dan ruhani mereka. 

( A. ABDURRAHMAN AHMAD )

Alhamdulillah.

















   

Monday, April 22, 2013

TATACARA BERHIAS DAN WANITA SOLIHAH.



  

  Berkata Nabi SAW kepada Umar RA, ” Mahukah kamu, aku khabarkan sebaik-baik simpanan seseorang? Ia adalah wanita solihah iaitu apabila suami memandangnya ia menyenangkannya.”

  Syeikh Abdul Hamid menyatakan bahawa Islam mengangkat tinggi darjat berhiasnya seseorang wanita. Dengan demikian, seorang wanita yang mengambil berat mengenai berhias dan bercantik di hadapan suami semata-mata untuk menggembirakan suami, dinilai oleh Allah SWT sebagai wanita solihah yakni sebaik-baik perhiasan dunia.

  Sedangkan Syeikh Ahmad Alqet mengatakan bahawa sudah menjadi fitrah wanita untuk menjaga badan, kecantikan dan keserasian pakaiannya sehingga masa-masa remajanya, digunakan untuk menarik perhatian lelaki. Pertautkan hatinya dengan lelaki idaman yang dirasa sanggup menitipkan dirinya melalui jalan syariah. Apabila perkara ini belum tercapai olehnya, biasanya dengan segala kemampuan dan kepandaiannya, dikerah hanya untuk menjaga kecantikan yang menjadi jaminan masa depan.

  Dalam kitab ‘Kaifa Tus’eed Zaujatak’ dikatakan bahawa Islam juga menggalakkan wanita agar berhias dengan sopan dan tidak menimbulkan murka Allah SWT serta fitnah sesama manusia. Syeikh Abdul Hamid juga menasihatkan agar wanita /isteri menjadi ratu kecantikan dan keindahan di dalam rumahnya, membawa keredhaan Rabbnya dan kebahagiaan bagi suaminya.

  Pengarang kitab ‘Al-Muntaqal Akhbar’ menjelaskan bahawa fungsi pakaian adalah untuk menutup aurat dan melindungi tubuh dari perkara-perkara yang boleh merosakkan. Berhias tidaklah dilarang sekiranya maksudnya untuk menyatakan nikmat Allah SWT yang diberikan kepada kita. Tetapi perkara yang menjadi ianya terlarang apabila ia bermaksud untuk menyombongkan kekayaan, membangkitkan kecintaan terhadap bersolek atau kerana mahu mempamerkan kekayaan. Oleh kerana itu Islam membolehkan wanita untuk memakai emas dan pakaian sutera tetapi bagi kaum lelaki adalah dilarang sama sekali.


Untuk itu ada beberapa anjuran bagi wanita dalam masaalah berhias iaitu ;-


  • Jangan Bertabarruj.

Firman Allah SWT : “.......dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyyah dahulu...” (Al-Ahzab : 33)


 Qatadah menyatakan, “ Mereka itu adalah wanita yang berjalan lenggang-lenggok “. Sedangkan Abu Najib menyebutkan, “Wanita yang berjalan dengan kebanggaan”. Al-Farabi pula mengatakan,” Wanita yang berpakaian tipis sehingga menampakkan kulit badannya.” Yang pasti Aliim Ulamaa’ berpendapat bahawa, “Wanita yang keluar rumah dan berjalan untuk menarik perhatian orang lain selain daripada suaminya.”

 Dikatakan oleh Imam Mujahid bahawa, tabarruj adalah wanita yang bersolek, berhias diri untuk memperlihatkan perhiasan dan kecantikannya kepada lelaki. Mereka ini tidak memiliki rasa malu walaupun sedikit, mereka berjalan di antara lelaki, berlenggang-lenggok, berdesak-desakan dengan lelaki di pasar-pasar dan berjalan di hadapan lelaki di jalan-jalan juga di masjid-masjid. Di malam hari berjalan di tempat yang terang, dengan niat untuk mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada orang ramai. Inilah yang dilakukan oleh wanita-wanita jahilyyah. Al-Quran telah melarang muslimaat berbuat seperti demikian.

 Timbul pertanyaan ; Apakah manfaat dan keuntungan dari kecantikan, keindahan, sertta perhiasan sekiranya sudah ternyata ia tidak disukai Allah SWT, bahkan membawa kemurkaanNya sahaja? Di sini, ramai wanita tertipu, mereka mahu dipuji dan disenangi oleh makhluk tetapi lupa bagaimana agar Al-Khaliq juga menyenangi dan memujinya.

Ada beberapa akibat dari perbuatan tabarruj wanita ini, seperti ;-

1. Akan merebaknya dan terbukanya pintu perzinaan. Inilah akibat utama dari perbuatan tabarruj yang pada zaman ini semakin berleluasa.


2. Akan timbul hawa nafsu yang tak terkawal.

3. Merendahkan darjat wanita itu sendiri.

4. Meruntuhkan akhlak dan moral manusia.

5. Menimbulkan kebiasaan buruk seperti perbuatan onani, liwat, lesbian dan sebagainya.

6. Jenayah kejahatan akan lebih mengancam ketenangan dan keamanan kaum wanita.

7. Meruntuhkan kekuatan ruhani.

Dan sudah tentunya di akhirat nanti ia pasti akan mendapat balasan di atas segala perbuatannya tersebut.


 Al-Ghazali mengingatkan bahawa ramai wanita yang menyibukkan diri mereka dengan merias dan mencantikkan diri untuk membahagiakan suami, tetapi mereka terlupa untuk mengubah sifat dan akhlak mereka sendiri. Wanita-wanita begini sanggup mengorbankan ratusan ribu duit hanya untuk menjaga keindahan dan kecantikan tubuh mereka sahaja. Tetapi mereka melupakan kecantikan dan keindahan ruhani mereka, lalu ruhani mereka dibiarkan sengsara. Akibatnya, akhlak dan keimanan pun tidak terbina dan lemahnya iman serta rosaknya akhlak adalah malapetaka yang besar di dunia ini.



  • Jangan Menyerupai Lelaki.

Dari A’isyah R.anha, Rasulullah SAW bersabda, “ Allah SWT melaknat wanita yang menyerupai lelaki.” ( Muslim, Abu Dawud )

Rasulullah SAW bersabda, “ Allah SWT melaknat wanita yang menyerupai lelaki dan lelaki menyerupai wanita.” ( Abu Dawud, Tirmidzi )

 Seorang lelaki berkata, “ ketika aku sedang berasa bersama Abdullah Ibnu Amr Ibnu Ash, lalu beliau melihat Ummu Said bintu Abu Jahal dilehernya tergantung busur dan dan dia berjalan dengan gaya seorang lelaki. Maka Abdullah bertanya, “ Siapa perempuan itu? “ Dijawab, “ itu adalah Ummu Said bintu Abu Jahal.” Maka Abdullah berkata, “ Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Bukan dari ummatku wanita yang menyerupai lelaki dan lelaki menyerupai wanita.”

  Pada zaman ini, akibat lemahnya usaha dakwah dan amarr ma’ruf nahi munkar dalam diri ummat Islam sehinggakan Islam begitu jauh dari kehidupan manusia sehingga apa saja yang menjadi batasan-batasan antara lelaki dan wanita pun sudah sukar untuk dibezakan. Padahal dalam solat sahaja Rasulullah SAW sudah membezakan aturan solat wanita dan lelaki. Begitu juga dalam cara duduk, berjalan, berpakaian, rambut dan amalan-amalan lainnya.


  • Jangan Merubah Ciptaan Allah SWT.

  Dari Abdillah RA, Rasulullah SAW melaknat wanita yang mencabut bulu keningnya dan yang merengggangkan giginya agar kelihatan lebih cantik dengan merubah ciptaan Allah SWT. ( An Nasaa’i )

  Abdullah Ibnu Mas’ud RA berkata, “ Allah SWT melaknat orang yang membuat tattoo dan yang meminta untuk dibuatkan, orang yang merubah bentuk kening dan yang meminta untuk diubahnya dan orang yang mengubah bentuk gigi untuk tampil lebih baik dengan mengubah ciptaan Allah. “ 
Kemudian beliau berkata, “ Sampaikan perkara ini kepada seorang wanita Bani Asad, dia ahli Al-Quran ". 
Maka datanglah dia kepada Abdullah RA seraya berkata, “ Ada cerita sampai kepadaku daripada kamu, bahawa kamu melaknat orang-orang yang membuat hiasan tattoo dan orang-orang yang minta dibuatkan dan orang yang mengubah bentuk gigi untuk tampil lebih baik dengan mengubah ciptaan Allah.”
Abdullah RA berkata, ” Bagaimana aku tidak laknat orang yang dilaknat oleh Rasulullah SAW, walhal ianya ada dalam Kitab Allah.” 
Berkata wanita itu, “ Aku telah membaca seluruh Kitab yang diwahyukan tetapi perkara ini aku tidak temui.” 
Maka Abdullah RA berkata, “ Kalau kamu benar-benar membaca pasti kamu akan menemuinya. Bukankan Allah SWT berfirman : Dan perintah yang datang kepadamu dari Rasul maka ambillah, larangan yang sampai kepadamu daripadanya maka jauhilah.’ ( Al-Hasyr : 7 )

Berkatalah wanita itu kepada beliau, “ Tetapi aku masih melihat perkara ini pada isteri kamu.” Abdullah RA berkata, “ Pergilah kamu dan lihatlah.” Al-Qamah RA berkata, maka masuklah wanita itu menemui isteri Abdullah RA tetapi tidak mendapatkan apa-apa pun, maka kembalilah wanita itu sambil berkata, “ Aku tidak melihatnya.” Maka berkatalah Abdullah RA, “ Seandainya masih ada perkara begitu, maka tidak sekali-kalinya aku menjima’nya.” ( Muttafaqun Alaiih )


  Adapun hadis-hadis mengenai perkara ini banyak menunjukkan tentang haramnya tatacara berhias seperti berikut ;- 

  •  Al-Wasym : Iaitu menusukkan jarum atau belati dibelakang telapak tangan dekat dengan pergelangan, dibibir atau pada anggota tubuh yang lain hingga mengeluarkan darah. Kemudian tempat luka itu disapukan dengan celak atau sejenis kapur untuk menghasilkan warna hijau . Allah SWT melaknat orang yang mengerjakan perbuatan di atas dan yang meminta dibuatkan.
  •  At-Tafalluj Lil husni : Merapikan gigi dengan alat pengikir atau sejenisnya. Perkara ini biasanya khusus untuk gigi depan dan gigi taring. Allah melaknat orang yang minta dirapikan atau yang mengerjakannya. 
Syeikh Abdul Hamid menerangkan bahawa demikianlah Islam melarang dengan tegas berhiasnya seorang wanita dengan cara merubah ciptaan Allah.


  • Jangan Membazir.

Allah SWT mencela orang yang boros dan orang yang suka melakukan perkaa yang sia-sia ini, firmanNya : “ Dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) dengan boros (dan sia-sia), sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan.” (Al-Israa’ : 26- 27 )

  Dalam perkara ini, Syeikh Abdul Hamid mengatakan bahawa setelah kita mengetahui tatacara berhias yang dibolehkan dan yang diharamkan, kami ingin mengingatkan kepada ukhti Muslimah tentang larangan lain iaitu berlebih-lebihan dalam berhias.

  Seorang wanita solihah hendaklah menjauhi sifat berlebih-lebihan ini baik dalam membelanjakan harta untuk membeli barang kosmetik ataupun dalam menghabiskan waktu berjam-jam di depan cermin. Ini kerana pemborosan dan perbuatan sia-sia ini mengakibat kita bertindak mengenepikan kepentingan dan keperluan lain yang lebih utama. Dalam berhias hendaklah bersifat ekonomi, tidak terlalu kedekut dan tidak terlalu boros. Kerana sebaik-baik perkara adalah bersederhana.


( A. ABDURRAHMAAN AHMAD )




Jom Pakai pakaian Sunnah!

Jom Pakai pakaian Sunnah!
Allah pun Suka.(^_^)

ISTERI CERDIK YANG SOLIHAH

ISTERI CERDIK YANG SOLIHAH
Taat perintah Allah,ikut Sunnah Rasulullah Saw dan pandai mnghibur suami!(^__________^)