Allah SWT berfirman, " Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka." (at-Tolaqq :1)
Allah SWT berfirman, " Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu." (al-Ahzab :33)
Syeikhul Hindi berkomentar mengenai ayat al-Quran di atas bahawa ayat tersebut dilafazkan kepada para isteri Nabi SAW tetapi ia juga ditujukan kepada wanita mukminaat seluruhnya. Sedangkan untuk-untuk isteri-isteri Nabi SAW mempunyai peraturan lebih khusus lagi yang berbeza dengan wanita umumnya.
Anjuran ini begitu keras,mengingatkan begitu pentingnya pengaruh wanita dalam kehidupan bermasyarakat kerana pergaulan dan tingkah laku wanita akan memberi kesan pada lingkungannya. Sehingga syaitan laknatullah boleh mewarnai kesan itu dengan kesan yang buruk dan jahat.
Syeikh Muhammad Sulaiman mengatakan bahawa untuk melaksanakan aturan Allah ini. Islam membebaskan wanita daripada semua kewajipan yang berkaitan dengan urusan di luar rumah. Sehingga mereka tidak wajib menunaikan Solat Jumaat, berjihad, menyertai jenazah dan sebagainya.
Seorang wanita dapat mengubah rumahnya menjadi syurga yang agung atau neraka yang menyala.J esteru itu, Islam menghendaki agar para wanita solihah merasakan dan menjadikan 4 penjuru rumahnya adalah syurga baginya. Di situlah tempat yang hakiki bagi wanita solihah, di situlah ia meniti jalan dan membangunkan cita-citanya menuju redho Ilahi.
Keutamaan Rumah Bagi Wanita.
Rumah adalah tempat tinggal yang sesuai dengan tabiat fitrah wanita. Keberadaan wanita di dalam rumahnya adalah merupakan benteng pertahanan yang dapat menjauhkan dirinya daripada berbagai macam fitnah dan cobaan. Sesiapa yang tidak bersependapat dengan ini bererti dia bertentangan dengan fitrah dan tabiat kejadian manusia. ( Huququl Mar'ah )
Nabi SAW bersabda," Sedekat-dekat keadaan seorang isteri/wanita kepada wajah Tuhannya adalah apabila dia berada pada bahagian terdalam dari rumahnya. Sesungguhnya solatnya di teras rumahnya adalah lebih utama daripada solatnya di dalam Masjid. Solat di dalam rumah adalah lebih utama daripada solat di teras rumahnya." ( Ibnu Hibban )
Rasulullah SAW bersabda," Wanita itu seluruhnya aurat. Sesungguhnya apabila dia keluar dari rumahnya maka syaitan akan bersamanya dan sesungguhnya tempat paling mendekatkan dirinya dengan Allah SWT adalah di sudut rumahnya." ( Thabrani )
Tinggal di rumah adalah satu nikmat yang besar bagi seseorang wanita yang solihah. Rasulullah SAW bersabda," Barangsiapa yang di suatu pagi tinggal dalam keadaan aman di dalam rumahnya, sihat tubuh badannya dan dia mendapati persediaan makan pada hari itu, maka seolah-olahnya dia telah dikurniakan dunia dengan segala isinya." ( Tirmizi dan Ibnu Majah )
Syeikh Muhammad Ibnu Abdullah mengatakan bahawa rumah bagi kaum wanita adalah hijab daripada berbagai macam fitnah. Akan tetapi yang dimaksudkan hijab di sini tidak seperti gambaran-gambaran orang bodoh, iaitu membelenggu wanita di dalam rumah, sehingga tidak boleh menghirup udara segar dan harus menjauhi segala aspek kehidupan.
Yang dimaksudkan menetap di rumah bukan bererti setelah berkahwin lalu tidak boleh keluar sama sekali kecuali apabila sudah meninggal. Wanita tetap boleh keluar dari rumahnya dan boleh saja dilihat oleh lelaki-lelaki bukan mahramnya dan juga wanita juga boleh melihat lelaki-lelaki itu. Kerana hal-hal seperti itu harus berlaku dalam kehidupan tetapi semua itu mesti dilakukan menurut batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh Islam.
Lowe Brozo seorang cendiakawan mengatakan bahawa, kelemahan wanita menyebabkan serangan penyakit kepada dirinya berlipat kali ganda. Oleh kerana wanita merupakan sasaran berbagai macam penyakit, hal ini membuktikan bahawa kehidupan yang ideal bagi kaum wanita adalah di dalam rumah bukan di luar rumah.
Seorang wanita solihah sebenarnya akan berbangga diri dengan peraturan yang diberikan ke atasnya dalam masaalah rumah ini kerana wanita mempunyai tugas khusus yang istimewa berbeza dengan kaum lelaki. Ustaz al-Aqqad berkata," Kalau tidak kerana adanya pengiringan kekurangan pada diri wanita, tentu akan merasa bangga terhadap kerajaan di dalam rumahnya dan sebagai orang yang membentuk generasi mendatang, yang tidak kalah 'bangga' nya dari kaum lelaki. (al-Falsafah al-Quraniyyah )
Bahaya Keluar Rumah Bagi Wanita.
Siapa sahaja yang menentang fitrah jelas akan menghadapi bahaya dan kesulitan. Syeikh Rasyid Ridha berkata di dalam bukunya,' Nida'un lil - lathif'', " Siapa yang pernah membaca berbagai berita tentang musafir pada masa ini dan melihat seringkali terjadi kerana lelaki-lelaki berkumpul dengan wanita dalam kenderaan dan di tempat-tempat penginapan. Tentunya ia boleh memahami hikmah larangan ini bahawa perjalanan itu berlaku dalam jarak jauh mahupun dekat. Juga berlaku bagi wanita yang bermusafir tanpa disertai mahramnya.''
Wanita yang keluar rumah tanpa mengikuti ajaran agama seperti :-
- - Memakai wangi-wangian
- - Tanpa izin dari suami/ibubapa
- - Tanpa diiringi dengan mahramnya
- - Tidak menutup aurat
- - Untuk tujuan yang tidak diredhai oleh agama
- - Tidak menundukkan pandangan
- - Tidak perbanyakkkan zikir selama perjalanan.
Maka keluarnya wanita tersebut dari rumahnya akan membuatkan syaitan laknatullah bergembira dan mereka akan bersorak-sorai atas pemergiannya. Wanita seperti inilah syaitan akan mudah menggoda manusia. Memang ada arahan daripada Nabi SAW agar para suami jangan melarang kaum wanitanya untuk pergi ke masjid berdasarkan daripada hadis Nabi SAW," Janganlah engkau melarang hamba-hamba Allah yang wanita mendatangi masjid-masjid Allah. Sedangkan rumah-rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka," ( Muslim )
Dalam 'Ahkamun Nisaa', Ibnul Jauzi mengatakan bahawa seseorang yang rasa khuatir akan isteri atau saudara perempuannya terkena fitnah maka lebih baik dia melarangnya dari keluar rumah. Wanita sekarang tidak sama lagi dengan wanita dahulu. A'isyah r.anha pun menyebutkan bahawa seandainya Rasulullah SAW melihat keadaan wanita sekarang, pasti Baginda SAW melarang dan menghahramkan wanita keluar rumah.
Ibnu Abbas RA menjawab pertanyaan Sa'ad ibnu 'Ash RA tentang keadaan wanita sekarang," Sebaiknya wanita terutama yang masih remaja tidak diperbolehkan keluar mengerjakan solat Hari Raya, yang boleh hanyalah wanita yang telah berumur dan lanjut usia. Wanita-wanita tentu akan berdandan secantik mungkin dan seharum mungkin. Padahal Abu Hurairah RA berkata tentang sabda Rasulullah SAW yang melarang wanita yang memakai wangi-wangian mengikuti solat jemaah.
Usaha Musuh Untuk Menjauhkan Wanita Dari Rumah.
Bermula daripada syaitan laknatullah yang sentiasa berusaha menggelincirkan orang-orang yang beriman dari jalan yang lurus, ditambah dengan usaha kaum yahudi dan nasrani yang sentiasa menginginkan kaum muslimin mengikuti cara hidup mereka, maka berbagai macam rayuan dan godaan di arahkan kepada kaum wanita muslimah agar mereka keluar dari rumah-rumahnya.
Dr Anwar Jundi menjelaskan bahawa usaha yang berbahaya dalam rangka menghancurkan masyarakat Islam adalah dengan cara mengeluarkan wanita dari rumahnya dari fungsi dan misinya dan membawa mereka terjun ke dunia pekerjaan di siang hari dan pada malam hari.
Memasuki dunia huru-hara sehingga tiada waktu tersisa untuk diberikan kepada anak-anak dan keluarganya. Akibatnya anak-anak kehilangan kasih-sayang ibunya. Mereka hidup di bawah asuhan para pembantu dan mendapatkan air susu bukan daripada ibunya. Mereka mencari kasih-sayang di sekelilingnya akan tetapi yang mereka dapatkan hanyalah kebengisan sehingga si anak berbalik memusuhi masyarakat dan lingkungannya.
Mereka tidak memiliki keperibadian yang utuh. Perasaan untuk mencintai dan menyayangi pun menipis dan akibatnya parah apabila tidak adanya idola bagi anak-anak, tidak ada sikap keteladanan dari ayah dan ibunya. Maka anak-anak akan mengalami perasaan terasing, resah dan patah semangat.
Oleh kerana itu semangat kembalinya wanita Islam ke jalan Allah perlu disambut dan didukung dengan membentangkan jalan agar ia tahu fungsinya, tanggungjawab dan tentangan harus ia hadapi dengan harapan ia dapat menemukan jalan yang benar, biasa mengenal kudratnya yang asli, beristiqamah menuju jalan Allah SWT.
Selanjutnya beliau menulis bahawa sebenarnya dorongan dasar kepada seorang wanita adalah sangat suka senantiasa merawat dan membina keadaan rumahnya, dia ingin mencurahkan kasih-sayangnya untuk anak-anak dan suami. Dorongan ini sifatnya fitrah, akan tetapi kita masih sering menemukan wanita yang enggan terhadap kehidupan rumahtangganya.
Mereka terperangkap kepada strategi yang diterapkan oleh protokol yahudi dan zionis yang merayu kaum wanita untuk memberontak terhadap statusnya sebagai ibu rumahtangga. Salah satu propaganda mereka adalah " mengembalikan wanita ke dalam rumahtangga tidaklah mudah sebab usaha seperti ini bererti menentang arus masyarakat umum. serupa hanyalah merupakan langkah mundur ke belakang dan tidak akan diterima di mana-mana pun juga."
Sebaliknya Islam menganjurkan agar wanita pandai menjaga diri dari fitnah. Sehingga Islam mengajarkan kepada kaum wanita untuk melakukan soalt di rumah apabila dikhuatirkan terjadi fitnah dan itulah sebaik-baik tempat bagi kaum wanita.
Kebolehan Wanita Keluar Rumah.
Nabi SAW bersabda," Janganlah kamu melarang isteri-isterimu mendatangi masjid dan rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka." (Ahmad, Abu Daud )
Nabi SAW bersabda," Allah SWT mengizinkan bagi kalian para wanita keluar dari rumah untuk keperluanmu," ( an-Nasaa'i )
Syeikh Ibnu Jauzi menulis bahawa wanita yang keluar rumah hendaklah selalu waspada. Memang dia mampu menyelamatkan diri namun orang lain sulit untuk menghindar daripada fitnahnya. Wanita yang terpaksa keluar haruslah ;-
Rasulullah SAW telah bersabda bahawa setiap wanita melepaskan baju di luar rumahnya, maka terungkaplah hijab/dinding antara dia dengan Tuhannya.
Tetapi hendaklah diingatkan bagaimana para sahabat menafsirkan bahawa suasana itu boleh berkehendak lain kerana melihat kebiasaan para wanita pada masa Bani Umaiyyah, yang suka menyalahgunakan kebolehan wanita pergi ke masjid. Maka A'isyah r.anha berkata," Andaikata Rasulullah SAW melihat apa yang dilakukan para wanita ini tentu Baginda SAW akan melarang mereka mendatangi masjid, sebagaimana masjid itu juga dilarang dihadiri para wanita bani Israil ".
Diperbolehkan bagi kaum wanita untuk keluar rumah, tetapi dengan syarat mengikuti aturan syariat Islami demi menjaga daripada berbagai macam fitnah. Perkara ini disiratkan oleh Nabi SAW dengan sabdanya," Sebaik-baik kaum lelaki adalah di saf pertama dan seburuk-buruk saf kaum lelaki adalah yang paling akhir. Dan sebaik-sebaik saf kaum wanita yang akhir dan seburuknya saf kaum wanita adalah yang pertama".( Abu Daud, Bukhari, Ahmad )
Dalam 'Ahkamul Nisaa', Ibnu Jauzi kembali mengingatkan bahawa apabila dikhuatirkan menimbul hal-hal yang tidak diingini maka sebaiknya wanita dicegah keluar dari rumah. Wanita sekarang amat jauh berbeza dengan wanita dahulu. Wanita memang sumber godaan bahkan suaranya pun ada sebahagian yang berpendapat bahawa haram untuk didengar oleh kaum lelaki.
Az-Zubaidi menyatakan bahawa wanita itu dituntut untuk berkurung dalam rumah seperti ular yang terkurung dalam lubangnya bahkan Atha' al-Khurasan memarfu'kan hadis bahawa wanita tidak diwajibkan mengucapkan salam ataupun menjawab salam.
Ahmad Ibnu Hanbal menguatkan hal itu bahawa dia pernah didampingi oleh seorang lelaki tiba-tiba isteri Ahmad bersin maka lelaki itu mengatakan kepadanya," yarhamakallah, " Ahmad pun menyahut," Lelaki yang bodoh,"
Juga diriwayat orang-orang dahulu bahawa jika ada lelaki mengetuk pintu sedangkan di rumah itu tidak ada seorang lelaki pun, si wanita di harapkan meletakkan tangan pada mulut dan mengeluarkan kata-kata mengejutkan supaya tidak menggoda.
Tips Rumah Ideal.
Disebabkan seorang wanita solihah lebih banyak menggunakan waktunya di dalam rumah maka selayaknya wanita solihah mengetahui beberapa kriteria dari rumah yang patut diwujudkan oleh wanita solihah,di antaranya iaitu ;-
- Rumah Yang Penuh Dengan Amalan
Rasulullah SAW bersabda," Jangan jadikan rumah-rumah kalian sebagai kubur. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan Surah al-Baqarah." (Muslim )
Dan seperti yang telah diungkapkan oleh Syeikh Abdul Halim Hamid bahawa juga yang termasuk mendatangkan kebahagiaan bagi jiwa suami adalah ketika ia melihat isteri gemar membaca, menghafal dan merenungi al-Quran. Demikian para Ummuhatul-Mukmineen R.Anhunn sentiasa mendengar, membaca dan mengajarkannya.
Diriwayatkan bahawa pada suatu saat Rasulullah SAW keluar dari kamarnya untuk solat subuh, sementara Juwaiyriyyah r.anha ada di tempat solatnya. Ketika Rasulullah SAW pulang setelah dhuha, baginda mendapati isterinya masih duduk di situ.
Lantas Rasulullah SAW berkata," Engkau masih duduk seperti ketika aku meninggalkanmu tadi?"
Juwaiyriyyah berkata," Yaa,"
Rasulullah SAW berkata," Saya telah mengatakan kepadamu 4 kalimah yang diucapkan 3 kali yang apabila kamu timbang dengan apa yang kamu baca semenjak tadi,akan menyamainya. Iaitu,"Subhaanallah,wa bihamdihi adada bikhalqihi, wa ridho nafsihi, wa zinata arsyihi, wamidada kalimatihi," (Maha Suci Allah dan segala pujiNya sebanyak makhlukNya,serela diriNya,setimbang ArsyNya dan sebanyak tinta kalimahNya)
Demikian juga sebagai wanita solihah hendaknya memperbanyakkan zikrullah, membiasakan wirid harian meskipun sedikit, terutama setelah subuh dan petang hari. Lebih besar lagi rasa bahagia muncul saat-saat isteri membaca wirid setelah subuh, kemudian mengajak suaminya yang baru pulang dari masjid ikut wirid bersamanya sebelum ia memikirkan tentang tidur pagi ataupun pekerjaannya.
- Rumah Yang Rapi dan Terpelihara.
Ummu Salamah RA bertanyakan kepada Nabi SAW ," Bagaimanakah pahala seorang wanita yang mengurus rumah?"
Rasulullah SAW menjawab," Setiap wanita yang mengurus rumahnya agar tampak rapi akan memperoleh rahmat Allah dan barangsiapa memperoleh rahmat Allah, maka ia tidak akan mendapat murkaNya."
Syeikh Abdul Halim Hamid menganjurkan," Aturlah suasana rumahmu dengan baik. Dalam hadis Abu Dzarah menyebutkan sebuah sanjungan bagi seorang khadimah yang mengaturkan dan membersihkan rumah dengan baik, ia tidak memenuhi rumah kita dengan sarang burung." ( Muttafaqun Alaihi )
Rasulullah SAW bersabda," Allah SWT memasukkan 3 golongan ke dalam syurga lantaran satu suap roti dan satu jemput kurma yang bermanfaat untuk orang miskin iaitu suami yang memerintahkan, isteri yang menyiapkan dan pelayan yang menghantarkan kepada orang miskin."
Dan Rasulullah SAW berkata," Segala puji bagi Allah yang tidak melupakan kita."( Thabrani, hakim )
Yakinilah bahawa suami pasti menginginkan isteri yang bersih dan menawan di dalam rumah, juga keadaan rumah yang terpelihara, bersih dan rapi. Perkara ini sangat jelas akan membuatkan suami suka untuk tinggal di rumahnya.
- Rumah Sederhana.
Perkara penting bagi wanita solihah adalah menjadikan rumahnya sesederhana mungkin jauh daripada kemewahan dan pemborosan. Sederhana bukan bererti miskin bahkan sederhana dapat menolak kemiskinan. Sebagaimana Nabi SAW bersabda," Tidak miskin orang yang hidup sederhana."( Ahmad, Thabrania )
Nabi SAW bersabda," Jika salah seorang daripada kamu melihat kepada orang yang dilebihkan oleh Allah dalam harta dan bentuk ciptaanNya maka hendaklah melihat kepada orang yang lebih rendah daripadamu, daripada orang yang dilebihkan atasmu." ( Bukhari, Muslim )
Sa'ad ibnu Abi Waqqas r.a mengirimkan sepucuk surat kepada Umar r.a, isi suratnya meminta izin bahawa dia akan membangun rumahnya. Kata Umar dalam surat balasannya: " Bangunlah rumahmu dengan sangat sederhana yang penting boleh melindungimu daripada terik matahari dan dingin hujan."
Rumah yang mewah dan penuh dengan perabot akan menimbulakan beberapa hal negatif bagi pemilik dan penghuninya,di antaranya iaitu ;-
- Menambahkan beban Yaumil Hisab, walaupun halal.
- Menambahkan rasa cinta terhadap kebendaan, kerana sentiasa memanjakan nafsunya
- Waktu lebih tersita untuk mengurus dan memperhatikan kebendaan dalam rumah, sehingga banyak amalan soleh berkurang kerana kesibukan tersebut.
- Harta mulai digunakan untuk hal-hal yang sia-sia, sementara masih banyak kewajipan terhadap orang-orang yang atas hartanya , menderita kelaparan dan memerlukannya.
- Bertolak belakang dengan kehidupan Nabi SAW dan para sahabatnya.
Sebaliknya jika rumah seorang wanita solihah itu sederhana, maka lebih sedikit masa untuk mengurus rumahnya, sehingga lebih banyak masa untuk memperbanyak amal solih dan lebih ringan hisabnya nanti di akhirat.
Umar RA berkirim pesan kepada Abu Musa al-Asya'ari yang isinya antara lain ;-
"Amma ba'd, Pelajarilah secara mendalam sunnah Nabi SAW dan bahasa Arab. Al-Quran diturunkan ditengah-tengah orang arab, kerana ia berbahasa arab. Tirulah kehidupan orang-orang Bani Ma'ad ibnu Adnan yang keras dan sederhana." ( Kanzul Ummal,X/252 )
- Kosong daripada Perabot Haram.
Jelas bahawa rumah seorang wanita solihah sentiasa jauh dari benda-benda yang jelas keharamannya ataupun yamg menyebabkan terjauhnya rahmat Allah ke atas rumah seorang muslim.
Rasulullah SAW melarang minum dari bejana emas dan perak dan makan daripadanya dan melarang memakai sutera yang tipis dan tebal dan duduk di atasnya. Nabi SAW juga bersabda," Benda-benda tersebut adalah kepunyaan orang-orang kafir di dunia dan kepunyaan kita di akhirat." ( Bukhari )
Nabi SAW bersabda," Sesungguhnya orang yang makan dan minum dari bejana emas atau perak, maka hakikatnya ia sedang memakan api jahannam ke dalam perutnya."
Abdullah Nasihah Ulwan mengatakan, dari hadis ini jelas bahawa menjadikan emas dan perak sebagai tempat makan minum dan membuat tempat duduk daripada sutera asli adalah haram. Pengharaman ini mencakupi lelaki dan wanita. Hikmahnya adalah pensucian rumah muslim dari material mewah yang tercela dan menghindarkan gejala kesombongan dan kebongkakan yang dimurkai Allah.
Abu Wail r.a meriwayatkan, daku menyertai peperangan Syria bersama-sama Umar r.a, kami pernah tinggal di suatu tempat. Seorang bangsawan di tempat itu datang mencari Umar r.a apabila mendekati beliau bersujud di hadapannya.
Umar r.a bertanya," Mengapa berbuat seperti itu?"
Beliau menjawab bahawa itu adalah adab kebiasaan mereka apabila mengahadapi raja-raja.
Umar r.a mengatakan kepadanya," Sujud hanya diperbolehkan kepada Allah yang Maha Perkasa sahaja, yang telah menciptakanmu."
Kemudian orang bangsawan itu berkata," Daku telah menyediakan makanan untukmu. Daku sangat berhajat supaya Tuan datang ke rumahku dan makan bersama-samaku".
Umar r.a bertanya kepada pengawalnya," Apakah ada terdapat gambar-gambar di rumahnya?"
Ketika orang itu menjawab ada, maka Umar r.a enggan pergi ke sana dan ia hanya berpesan agar dihantarkan satu jenis makanan sahaja kepadanya. Lalu orang bangsawan itu menghantarkannya dan Umar r.a pun menerimanya." ( Hakim )
- Ada Suasana Agama di Rumah.
Ini adalah kewajipan yang paling utama bagi wanita solihah kerana di rumahlah markaz pusat bagi setiap generasi dalam membentuk keluarga yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.
Nabi SAW bersabda," Dan tidaklah berkumpul satu kumpulan di suatu rumah dari rumah-rumah Allah yang dibacakan di dalam kumpulan tadi kitab Allah dan saling ajar mengajarkan satu sama lainnya, kecuali akan di turunkan keatas mereka ahli majlis tadi, sakinah (ketenangan batin) dan dicucurkan ke atas mereka rahmat dan para Malaikat akan mengerumuninya dan Allah akan menyebutkan nama-nama mereka di sisinya."( Muslim )
Berdasarkan hadis di atas, maka untuk mewujudkan rumah yang penuh sakinah, mawaddah dan rahmah adalah dengan menghidupkan halaqah majlis taklim dalam keluarga. Membicarakan keutamaan-keutamaan iman dan amal di tengah-tengah keluarga, iaitu dengan membacakan firman-firman Allah SWT ataupun hadis-hadis Rasulullah SAW.
Untuk membiasakan atas hal ini adalah dengan petunjuk sebagai berikut ;-
- Tidak terlalu lama, cukup hanya beberapa minit sahaja, sehingga tidak menimbulkan kebosanan bagi ahli rumah.
- Rutin dilakukan setiap hari sekali sahaja.
- Memilih masa yang tepat, yang dapat dihadiri oleh seluruh anggota keluarga.
- Program ini dilaksanakan penuh adab tumpuan.
Jika ketengangan batin masuk ke dalam jiwa-jiwa anggota keluarga dan rahmat Allah bercucuran dalam rumah, maka adakah Allah SWT akan menurunkan murkaNya ? Tentu tidak, bahkan Allah SWT akan melindunginya dari segala kesusahan, bala, musibah dan lain-lainnya.
Kemudian para Malaikat akan mengerumuni ahli rumah tersebut. Secara tidak langsung sikap dan sifat Malaikat akan merasuki diri-diri penghuninya. Ketaatan, kesabaran, istiqamah, saling memaafkan, ghairah kepada ibadah dan amalan solih akan menjadi sifat-sifat penghuni rumah tersebut. Sehingga rumah itu akan selalu dalam keadaan tenteram dan damai, penuh dengan rahmat Ilahi.Juga akan jauh dari keributan dan pertengkaran.
Sebaliknya, jika tidak diadakan majlis taklim dalam sebuah rumah maka rahmat Allah akan jauh dari rumah tersebut, ketenangan jiwa akan sulit didapatkan dan syaitan laknatullah pun akan mengerumuni penghuninya sebagai ganti para malaikat. Sehingga sifat dan sikap syaitan pun akan memasuki jiwa anak-anak mereka dan anggota keluarga lainnya. Akhirnya yang terjadi adalah anak berani melawan orang tua, terjadi pertengkaran antara suami isteri, saling berbohong, saling cemburu, saling dengki dan sifat-sifat buruk lain akan masuk dalam diri para penghuni rumah tersebut. Ini semua disebabkan tidak dihidupkannya majlis agama dalam rumah seorang muslim.
Sebagai contoh bahawa dari pengaruh taklim wa taklum dapat merubah jiwa jiwa yang jahat kepada kebaikan, adalah kisah Islamnya Umar ibnu al-Khattab r.a ,iaitu beliau mendatangi rumah adik perempuannya, Fatimah RA dengan kemarahan yang memuncak kerana adiknya telah masuk Islam tetapi disebabkan dalam rumah adik perempuannya telah hidup suasana taklim. Bahkan saat itu adik perempuan beserta iparnya sedang mengadakan taklim halaqah al-Quran, maka rumah yang penuh nuur, penuh rahmat Allah dan selalu dikeliling Malaikat ini, dapat memberi kesan pada hati Umar r.a .Sehingga pada saat itu juga Allah telah melimpahkan hidayahNya pada Diri Umar r.a .
A.ABDURRAHMAAN AHMAD.
No comments:
Post a Comment