Sunday, May 20, 2012

PEKERJAAN DAN WANITA SOLIHAH

 

Dari Anas RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda," Sebaik-baik permainan bagi wanita adalah tenunannya  ( menjahit ) ."(Dailami)

A'isyah RAnha berkata, " Suara pintalan tenunan wanita dapat mengimbangi takbir di jalan Allah.Wanita yang memberikan pakaian kepada suaminya dari hasil tenunannya maka dari setiap jahitan dia akan mendapat 100 darjat ketinggian."

Umar Ibnu al-Khattab RA berkata," Dan sebaik-baik kebiasaan bagi wanita adalah tenunan."(Natsar al-Dur,2/29)

   Ustazah Aminah as-Sa'id dalam ulasannya menulis bahawa untuk meneruskan kehidupan, manusia harus mencari rezeki dan keadaan pun menjadi darurat dan memaksa wanita turut ikut mencari rezeki. Ada yang bekerja untuk memenuhi kekurangan suami, ada pula yang belum bersuami tetapi ibubapanya sudah tidak mampu untuk mencari rezeki. Namun ada wanita yang terperangkap dengan pekerjaannya, kadang-kadang terpaksa melanggar nilai-nilai seorang wanita muslimah bahkan, tidak sedikit dari kaum wanita meniru-niru pekerjaan lelaki atau mungkin lebih dari itu yang boleh membawa jauh dari nilai-nilai agama.

   Dr Anwar Jundi menambah bahawa Islam tidak menghendaki seseorang wanita keluar dari rumahnya hanya sekadar untuk aktiviti yang tidak sesuai dengan kudratnya samaada dengan dalih kemaslahatan masyarakat ataupun hanya sekadar keperluan peribadinya. Wanita diperbolehkan bekerja sekiranya tidak ada yang dapat menanggung keperluan perbelanjaan untuk diri dan keluarganya sehari-hari dengan syarat pekerjaan itu sesuai dengan kudrat wanitanya.

   Sedangkan Dr Alex Carl mengatakan bahawa masyarakat sekarang ini telah melakukan kesalahan besar dengan menggantikan tradisi wanita secara mutlak dengan kesibukan di luar rumah hingga banyak kaum ibu menyerahkan anak-anak mereka kepada pusat-pusat asuhan ataupun pembantu rumah.

   Sebagai alasan atas hal itu maka Syeikh Ibnu Sulaiman mengatakan bahawa kita sama-sama mengetahui bahawa wanita adalah makhluk lemah yang sangat emosional, mudah terpengaruh oleh angan-angan dan pujukan, mudah tunduk dengan cubaan budaya moden dan hiasan kehidupan dunia yang menipu. Wanita mudah sekali berpaling dari kebenaran, terpengaruh oleh persekitaran, terbawa oleh arus hawa nafsu. Tanpa pengendalian agama dan gemar bertindak tanpa pertimbangan akal atau melihat akibatnya. Tidak semua pekerjaan sesuai dengan wanita dan tidak semua pekerjaan pula sesuai dengan lelaki. Masing-masing ada pekerjaan yang sesuai dengan kudrat dan fitrah sendiri.

   Anjuran menjahit pada hadis di atas hanya sekadar contoh dari beberapa pekerjaan yang sesuai dengan kudrat wanita. Menjahit banyak hikmah dan pelajaran yang terdapat di dalamnya. Sebahagian daripada hikmah menjahit dan bertenun adalah ;-
  • Menjahit dapat dilakukan di dalam rumah.Sehingga terhindar dari hal-hal yang tidak disenangi. 
  • Dapat dilakukan sambil memperbanyakkan zikir ataupun sambil membaca hafalan al-Quran. 

  Mengeluarkan kaum wanita dari rumah dan menyibukkannya memang suatu rencana-rencana yang disusun oleh para musuh Islam. Sebagaimana yang dikemukakan oleh Syeikh Muhammad Ibnu Abdullah dalam bukunya, beliau menulis bahawa ;
 Orang-orang barat menggunakan keadaan wanita Islam sebagai senjata untuk melukai Islam, lalu mencelanya sebagai agama yang tidak efektif untuk kehidupan dan tidak memberi keadilan yang layak kepada wanita. Mereka sibuk menggugat para wanita muslimaat agar memberontak Islam. Mereka menuduh bahawa Islam merendahkan martabat wanita, melecehkan sebagai propagandanya. Mereka menggunakan sarana-sarana informasi dan media massa. Mereka melepaskan semboyan kebebasan dan pembebasan wanita. Padahal yang sebenarnya hendak menipu para wanita agar menuntut hak-haknya, memberontak agar diberikan kebebasan, meninggikan hal-hal jahiliyyah dan mengikut budaya moden. Walhasil lahirlah emansipasi  (pembebasan) wanita.

   Dalam ' huququl mar'ah ' disebutkan bahawa yang sebenarnya lebih banyak mudharat yang akan terjadi apabila wanita bekerja di luar rumah di bandingkan dengan manfaatnya. Antara lainnya ialah ;-

  • Sering terjadi kemungkaran seperti percampuran dengan lelaki bukan mahram, perkenalan, komunikasi, bertemu muka dengan yang diharamkan. Memakai wangi-wangian. Mendedahkan aurat kepada yang bukan mahram sehingga menyeret kepada penzinaan. 
  • Tidak boleh melaksanakan kewajipan terhadap suami dengan baik. 
  • Meremehkan urusan rumahtangga yang seharusnya menjadi bidangnya wanita. 
  • Mengurangi hak-hak anak dalam banyak hal seperti kasih sayang,perhatian penyusuan,pendidikan dan sebagainya. 
  • Menyebabkan badan cepat penat dan letih sehingga mempengaruhi jiwa dan mental yang tidak sesuai dengan tabiat wanita. 
  • Mengurangi makna hakiki tentang kepimpinan suami dalam rumahtangga di hati wanita. 

   Di samping itu jika keinginannya telah tertumpu kepada pekerjaan, tabiat dan keperibadiaannya akan lebih mementingkan diri sendiri. Maka fikiran dan perasaannya menjadi sibuk, lupa dan bertambah jauh dari tugas-tugasnya yang hakiki iaitu kewajipan membina kehidupan suami-isteri, mendidik anak-anak dan mengatur urusaN rumahtangga. Nabi SAW bersabda, " Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan dia bertanggungjawab di atas kepimpinannya."(Bukhari)

   Sememangnya ini adalah salah satu dari rencana mereka ( musuh-musuh Islam ) seperti yang dikatakan oleh Ustaz al-Hamid ; Supaya bangsa yang dijajah tersebut tidak menyedari kewajipannya sehingga keluar dari cara hidup Islam sebenar sedikit demi sedikit.

   Dr Nasih Ulwan menambah bahawa wanita bekerja diluar rumah tidak lain tidak bukan adalah termasuk dalam misi-misi musuh-musuh Islam yang hendak menghancurkan kaum muslimin dan muslimaat. Dengan memberi contoh-contoh kebebasan, persamaan dan sebagainya. Mengikut perilaku kehidupan orang-orang kafir adalah larangan keras bagi kaum muslimin dan muslimaat. Rasulullah SAW bersabda, " Bukan dari golongan kami orang-orang yang menyerupai selain kami.Janganlah kalian menyerupai Yahudi dan Nasrani."(Tirmizi)


Nabi SAW juga bersabda, " Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum maka ia termasuk ke dalam golongan kaum tersebut."(Ahmad)

   Oleh kerana itu kepada para wanita Islam yang belum puas dengan Islam dan terus menuntut kebebasan dan persamaan hak atas nama 'pembebasan wanita',katakan kepada mereka,;Tuntulah wahai wanita agar kamu berkumis atau berjanggut'.


Dibolehkan bagi wanita bekerja tetapi dengan syarat-syarat yang harus dipenuhi seperti ;-

  • Ada izin dari wali, baik daripada suami ataupun ibubapa. 
  • Pekerjaan halal bukan pekerjaan yang haram atau syubhat. 
  • Tidak ada ikhtilat ' atau percampuran bebas antara lelaki dan wanita. 
  • Tidak bertabarrujj, tidak menampakkan perhiasan. 
  • Tidak memakai pakaian yang ketat atau melanggar aturan berpakaian bagi wanita Islam. 
  • Ada hijab antara lelaki dan wanita. 
  • Jenis pekerjaannya pun tidak boleh melanggar kewajipan-kewajipannya yang lain seperti kewajipan terhadap suami, anak-anak dan urusan rumahtangganya. 

   Ali RA pernah bertanya kepada Fathimah RAnha, puteri Rasulullah SAW .." Wahai Fathimah apakah yang baik bagi seorang wanita?"  Fathimah RAnha menjawab," Hendaknya dia tidak melihat lelaki yang ajnabi dan lelaki ajnabi tidak melihatnya."

   Ada yang mengatakan bahawa " wanita yang bekerja boleh menghilangkan rasa bosan yang berpanjangan kerana di rumah dia terus-menerus terkongkong di dalam rumah." Katakan kepada mereka bahawa tugas wanita adalah di rumah suaminya, menjaga hartanya, mengatur urusan rumahtangga, menyedari tujuan kedudukannya sebagai isteri dan ibu rumahtangga dan tugasnya menjadikan rumahnya sebagai syurga. Itu sudah cukup untuk membunuh kekosongan hati.


A.ABDURRAHMAAN.

No comments:


Jom Pakai pakaian Sunnah!

Jom Pakai pakaian Sunnah!
Allah pun Suka.(^_^)

ISTERI CERDIK YANG SOLIHAH

ISTERI CERDIK YANG SOLIHAH
Taat perintah Allah,ikut Sunnah Rasulullah Saw dan pandai mnghibur suami!(^__________^)