Berkata Nabi SAW kepada Umar RA, ” Mahukah kamu, aku khabarkan sebaik-baik simpanan seseorang? Ia adalah wanita solihah iaitu apabila suami memandangnya ia menyenangkannya.”
Syeikh Abdul Hamid menyatakan bahawa Islam mengangkat tinggi darjat berhiasnya seseorang wanita. Dengan demikian, seorang wanita yang mengambil berat mengenai berhias dan bercantik di hadapan suami semata-mata untuk menggembirakan suami, dinilai oleh Allah SWT sebagai wanita solihah yakni sebaik-baik perhiasan dunia.
Sedangkan Syeikh Ahmad Alqet mengatakan bahawa sudah menjadi fitrah wanita untuk menjaga badan, kecantikan dan keserasian pakaiannya sehingga masa-masa remajanya, digunakan untuk menarik perhatian lelaki. Pertautkan hatinya dengan lelaki idaman yang dirasa sanggup menitipkan dirinya melalui jalan syariah. Apabila perkara ini belum tercapai olehnya, biasanya dengan segala kemampuan dan kepandaiannya, dikerah hanya untuk menjaga kecantikan yang menjadi jaminan masa depan.
Dalam kitab ‘Kaifa Tus’eed Zaujatak’ dikatakan bahawa Islam juga menggalakkan wanita agar berhias dengan sopan dan tidak menimbulkan murka Allah SWT serta fitnah sesama manusia. Syeikh Abdul Hamid juga menasihatkan agar wanita /isteri menjadi ratu kecantikan dan keindahan di dalam rumahnya, membawa keredhaan Rabbnya dan kebahagiaan bagi suaminya.
Pengarang kitab ‘Al-Muntaqal Akhbar’ menjelaskan bahawa fungsi pakaian adalah untuk menutup aurat dan melindungi tubuh dari perkara-perkara yang boleh merosakkan. Berhias tidaklah dilarang sekiranya maksudnya untuk menyatakan nikmat Allah SWT yang diberikan kepada kita. Tetapi perkara yang menjadi ianya terlarang apabila ia bermaksud untuk menyombongkan kekayaan, membangkitkan kecintaan terhadap bersolek atau kerana mahu mempamerkan kekayaan. Oleh kerana itu Islam membolehkan wanita untuk memakai emas dan pakaian sutera tetapi bagi kaum lelaki adalah dilarang sama sekali.
Untuk itu ada beberapa anjuran bagi wanita dalam masaalah berhias iaitu ;-
- Jangan Bertabarruj.
Firman Allah SWT : “.......dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyyah dahulu...” (Al-Ahzab : 33)
Qatadah menyatakan, “ Mereka itu adalah wanita yang berjalan lenggang-lenggok “. Sedangkan Abu Najib menyebutkan, “Wanita yang berjalan dengan kebanggaan”. Al-Farabi pula mengatakan,” Wanita yang berpakaian tipis sehingga menampakkan kulit badannya.” Yang pasti Aliim Ulamaa’ berpendapat bahawa, “Wanita yang keluar rumah dan berjalan untuk menarik perhatian orang lain selain daripada suaminya.”
Dikatakan oleh Imam Mujahid bahawa, tabarruj adalah wanita yang bersolek, berhias diri untuk memperlihatkan perhiasan dan kecantikannya kepada lelaki. Mereka ini tidak memiliki rasa malu walaupun sedikit, mereka berjalan di antara lelaki, berlenggang-lenggok, berdesak-desakan dengan lelaki di pasar-pasar dan berjalan di hadapan lelaki di jalan-jalan juga di masjid-masjid. Di malam hari berjalan di tempat yang terang, dengan niat untuk mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada orang ramai. Inilah yang dilakukan oleh wanita-wanita jahilyyah. Al-Quran telah melarang muslimaat berbuat seperti demikian.
Timbul pertanyaan ; Apakah manfaat dan keuntungan dari kecantikan, keindahan, sertta perhiasan sekiranya sudah ternyata ia tidak disukai Allah SWT, bahkan membawa kemurkaanNya sahaja? Di sini, ramai wanita tertipu, mereka mahu dipuji dan disenangi oleh makhluk tetapi lupa bagaimana agar Al-Khaliq juga menyenangi dan memujinya.
Ada beberapa akibat dari perbuatan tabarruj wanita ini, seperti ;-
1. Akan merebaknya dan terbukanya pintu perzinaan. Inilah akibat utama dari perbuatan tabarruj yang pada zaman ini semakin berleluasa.
2. Akan timbul hawa nafsu yang tak terkawal.
3. Merendahkan darjat wanita itu sendiri.
4. Meruntuhkan akhlak dan moral manusia.
5. Menimbulkan kebiasaan buruk seperti perbuatan onani, liwat, lesbian dan sebagainya.
6. Jenayah kejahatan akan lebih mengancam ketenangan dan keamanan kaum wanita.
7. Meruntuhkan kekuatan ruhani.
Dan sudah tentunya di akhirat nanti ia pasti akan mendapat balasan di atas segala perbuatannya tersebut.
Al-Ghazali mengingatkan bahawa ramai wanita yang menyibukkan diri mereka dengan merias dan mencantikkan diri untuk membahagiakan suami, tetapi mereka terlupa untuk mengubah sifat dan akhlak mereka sendiri. Wanita-wanita begini sanggup mengorbankan ratusan ribu duit hanya untuk menjaga keindahan dan kecantikan tubuh mereka sahaja. Tetapi mereka melupakan kecantikan dan keindahan ruhani mereka, lalu ruhani mereka dibiarkan sengsara. Akibatnya, akhlak dan keimanan pun tidak terbina dan lemahnya iman serta rosaknya akhlak adalah malapetaka yang besar di dunia ini.
- Jangan Menyerupai Lelaki.
Dari A’isyah R.anha, Rasulullah SAW bersabda, “ Allah SWT melaknat wanita yang menyerupai lelaki.” ( Muslim, Abu Dawud )
Rasulullah SAW bersabda, “ Allah SWT melaknat wanita yang menyerupai lelaki dan lelaki menyerupai wanita.” ( Abu Dawud, Tirmidzi )
Seorang lelaki berkata, “ ketika aku sedang berasa bersama Abdullah Ibnu Amr Ibnu Ash, lalu beliau melihat Ummu Said bintu Abu Jahal dilehernya tergantung busur dan dan dia berjalan dengan gaya seorang lelaki. Maka Abdullah bertanya, “ Siapa perempuan itu? “ Dijawab, “ itu adalah Ummu Said bintu Abu Jahal.” Maka Abdullah berkata, “ Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Bukan dari ummatku wanita yang menyerupai lelaki dan lelaki menyerupai wanita.”
Pada zaman ini, akibat lemahnya usaha dakwah dan amarr ma’ruf nahi munkar dalam diri ummat Islam sehinggakan Islam begitu jauh dari kehidupan manusia sehingga apa saja yang menjadi batasan-batasan antara lelaki dan wanita pun sudah sukar untuk dibezakan. Padahal dalam solat sahaja Rasulullah SAW sudah membezakan aturan solat wanita dan lelaki. Begitu juga dalam cara duduk, berjalan, berpakaian, rambut dan amalan-amalan lainnya.
- Jangan Merubah Ciptaan Allah SWT.
Dari Abdillah RA, Rasulullah SAW melaknat wanita yang mencabut bulu keningnya dan yang merengggangkan giginya agar kelihatan lebih cantik dengan merubah ciptaan Allah SWT. ( An Nasaa’i )
Abdullah Ibnu Mas’ud RA berkata, “ Allah SWT melaknat orang yang membuat tattoo dan yang meminta untuk dibuatkan, orang yang merubah bentuk kening dan yang meminta untuk diubahnya dan orang yang mengubah bentuk gigi untuk tampil lebih baik dengan mengubah ciptaan Allah. “
Kemudian beliau berkata, “ Sampaikan perkara ini kepada seorang wanita Bani Asad, dia ahli Al-Quran ".
Maka datanglah dia kepada Abdullah RA seraya berkata, “ Ada cerita sampai kepadaku daripada kamu, bahawa kamu melaknat orang-orang yang membuat hiasan tattoo dan orang-orang yang minta dibuatkan dan orang yang mengubah bentuk gigi untuk tampil lebih baik dengan mengubah ciptaan Allah.”
Abdullah RA berkata, ” Bagaimana aku tidak laknat orang yang dilaknat oleh Rasulullah SAW, walhal ianya ada dalam Kitab Allah.”
Berkata wanita itu, “ Aku telah membaca seluruh Kitab yang diwahyukan tetapi perkara ini aku tidak temui.”
Maka Abdullah RA berkata, “ Kalau kamu benar-benar membaca pasti kamu akan menemuinya. Bukankan Allah SWT berfirman : Dan perintah yang datang kepadamu dari Rasul maka ambillah, larangan yang sampai kepadamu daripadanya maka jauhilah.’ ( Al-Hasyr : 7 )
Berkatalah wanita itu kepada beliau, “ Tetapi aku masih melihat perkara ini pada isteri kamu.” Abdullah RA berkata, “ Pergilah kamu dan lihatlah.” Al-Qamah RA berkata, maka masuklah wanita itu menemui isteri Abdullah RA tetapi tidak mendapatkan apa-apa pun, maka kembalilah wanita itu sambil berkata, “ Aku tidak melihatnya.” Maka berkatalah Abdullah RA, “ Seandainya masih ada perkara begitu, maka tidak sekali-kalinya aku menjima’nya.” ( Muttafaqun Alaiih )
Adapun hadis-hadis mengenai perkara ini banyak menunjukkan tentang haramnya tatacara berhias seperti berikut ;-
- Al-Wasym : Iaitu menusukkan jarum atau belati dibelakang telapak tangan dekat dengan pergelangan, dibibir atau pada anggota tubuh yang lain hingga mengeluarkan darah. Kemudian tempat luka itu disapukan dengan celak atau sejenis kapur untuk menghasilkan warna hijau . Allah SWT melaknat orang yang mengerjakan perbuatan di atas dan yang meminta dibuatkan.
- At-Tafalluj Lil husni : Merapikan gigi dengan alat pengikir atau sejenisnya. Perkara ini biasanya khusus untuk gigi depan dan gigi taring. Allah melaknat orang yang minta dirapikan atau yang mengerjakannya.
Syeikh Abdul Hamid menerangkan bahawa demikianlah Islam melarang dengan tegas berhiasnya seorang wanita dengan cara merubah ciptaan Allah.
- Jangan Membazir.
Allah SWT mencela orang yang boros dan orang yang suka melakukan perkaa yang sia-sia ini, firmanNya : “ Dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) dengan boros (dan sia-sia), sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan.” (Al-Israa’ : 26- 27 )
Dalam perkara ini, Syeikh Abdul Hamid mengatakan bahawa setelah kita mengetahui tatacara berhias yang dibolehkan dan yang diharamkan, kami ingin mengingatkan kepada ukhti Muslimah tentang larangan lain iaitu berlebih-lebihan dalam berhias.
Seorang wanita solihah hendaklah menjauhi sifat berlebih-lebihan ini baik dalam membelanjakan harta untuk membeli barang kosmetik ataupun dalam menghabiskan waktu berjam-jam di depan cermin. Ini kerana pemborosan dan perbuatan sia-sia ini mengakibat kita bertindak mengenepikan kepentingan dan keperluan lain yang lebih utama. Dalam berhias hendaklah bersifat ekonomi, tidak terlalu kedekut dan tidak terlalu boros. Kerana sebaik-baik perkara adalah bersederhana.
( A. ABDURRAHMAAN AHMAD )