Rasulullah SAW bersabda, “ Sesungguhnya, andaikata wanita itu memiliki dunia dan seluruhnya dan dia membelanjakan semua hartanya untuk suaminya, kemudian dia mengungkit-ungkit kembali kepada suaminya setelah beberapa waktu maka Allah SWT akan meleburkan amalannya dan menghalaunya bersama-sama dengan Qarun.”
Bersabda Rasulullah SAW, “ Tidak dibenarkan wanita memberi sesuatu kecuali dengan izin daripada suaminya, sekiranya dia memiliki sesuatu maka harus dia menjaganya.” ( Ahmad, Nasa’i, Ibnu Majah )
Dr Anwar Jundi mengatakan bahawa Islam membahagikan harta warisan kepada wanita setengah daripada lelaki. Ini sesuai dengan kehormatannya yakni ia tidak berkewajipan untuk mengeluarkan nafkah sekalipun untuk dirinya sendiri atau pun untuk anak-anaknya melainkan hartanya itu menjadi miliknya sendiri.
Dalam sebuah keluarga, penggunaan harta selayaknya dengan adanya pengetahuan suami walaupun harta tersebut milik isteri. Sangatlah terpuji sekiranya isteri mahu membantu suami dengan sebahagian dari hartanya baik untuk modal usaha ataupun untuk tujuan dakwah dan ibadah.
Allah SWT berfirman, “ Dan orang-orang yang beriman lelaki dan wanita sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain.” ( At-Taubah )
Walau apa pun bantuan isteri kepada suami, janganlah pula seorang isteri menganggap dirinya lebih mulia daripada suaminya. Apalagi andai sanggup mengucapkan kata-kata yang merendahkan atau menyakitkan hati suami atau mengungkit-ungkit segala pemberiannya.
Dalam riwayat lain menyebutkan, “ Sesungguhnya jika seorang wanita itu memiliki harta kekayaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman Ibnu Dawud AS dan suaminya memakan harta tersebut lalu dia berkata kepada suaminya, “ Mana hartaku!” Allah SWT pasti menghancurkan amalan wanita itu selama 40 tahun. “
A. ABDURRAHMAN AHMAD